Welcome To My Blog ! Follow me or go Home ?


MY WORLD (DUNIA SAYA)


Buah Naga(Dragon Fruit)
Tuesday 10 July 2012 | 05:49 | 0 Comments
Asalamualaikum semua.
Apakah khasiat buah naga? Mari kita baca.



Buah naga adalah salah satu buah yang popular dan mendapat sambutan hangat sekarang. Terdapat banyak khasiat yang terkandung dalam sebiji buah naga. Berdasarkan wikipedia:

Buah Naga adalah buah daripada sejenis pokok kaktus. Ia ditanam secara komersial di Vietnam dan Australia, walaupun ia berasal dari Amerika Selatan. Buah naga yang matang adalah seberat lebih kurang 400 gram tetapi ada juga yang membesar sehingga lebih satu kilogram!

Isi buah naga berwarna putih, merah, atau ungu dengan taburan biji-biji yang berwarna hitam yang boleh dimakan. Tekstur isinya adalah seperti isi tembikai, manakala rasanya pula adalah seperti buah kiwi. Ciri-ciri unik inilah yang menjadikan buah naga amat sesuai dijadikan ramuan dalam salad buah-buahan.

Sumber dari Berita Harian:

Buah naga merah banyak khasiat

Oleh ZAINUDDIN ZAIN

MASIH ramai rakyat negara ini tidak tahu cara memakan buah ini kerana bentuknya yang ganjil, dengan kulit luar berwarna merah dan mempunyai sayap seperti seekor naga sehingga ia mendapat nama buah naga (dragon fruit).

Jangan ketawa jika ada orang yang memotong kulitnya seperti memakan buah epal, walaupun cara sebenar memakan buah naga ialah dengan memotong dua dan menceduk isinya dengan menggunakan sudu.

Bagaimanapun, di sebalik rupanya yang ganjil, buah naga daripada keluarga cactacea yang tergolong dalam spesies kaktus dan semakin mendapat tempat di kalangan petani moden negara ini, sebenarnya kaya dengan khasiat.

Buah naga mempunyai isi seperti buah kiwi. Pada masa ini, buah naga yang isinya berwarna putih lebih mudah didapati di pasaran, tetapi mengikut pakar pemakanan dan perubatan, buah yang isinya berwarna merah mempunyai lebih banyak khasiat.

Secara amnya, pakar sependapat dan mengakui buah naga kaya dengan potasium, ferum, protein, serat, sodium dan kalsium yang baik untuk kesihatan berbanding buah-buahan lain yang diimport.

Mengikut wakil Johncola Pitaya Food R&D, syarikat penanaman dan penyelidikan buah naga merah terbesar di negara ini, AL Leong, buah kaktus madu itu cukup kaya dengan pelbagai zat vitamin dan mineral yang boleh membantu meningkatkan daya tahan dan mengurangkan metabolisma dalam badan manusia.

Kajian menunjukkan buah naga merah ini sangat baik untuk sistem penghadaman dan peredaran darah. Ia juga memberi tindak balas memberangsangkan untuk mengurangkan tekanan emosi dan meneutralkan toksik dalam darah.

Kajian juga menunjukkan buah ini boleh mencegah kanser usus, selain mencegah kandungan kolesterol yang tinggi dalam darah dan pada masa sama menurunkan kadar lemak dalam badan, katanya.

Secara keseluruhan, setiap buah naga merah mengandungi protein yang mampu mengurangkan metabolisma badan dan menjaga kesihatan jantung; serat (mengawal kanser usus, kencing manis dan diet); karotin (kesihatan mata, menguatkan otak dan menghalang penyakit); kalsium (menguatkan tulang) dan fosferos (pertumbuhan tisu badan).

Buah naga juga mengandungi zat besi untuk menambah darah; vitamin B1 (mengawal kepanasan badan); vitamin B2 (menambah selera); vitamin B3 (menurunkan kadar kolesterol) dan vitamin C (menambah kelicinan, kehalusan kulit serta mencegah jerawat).

Past | Future